ANALISA FUNDAMENTAL FOREX

Apa Itu Analisa Fundamental

Analisa fundamental adalah salah satu kaedah untuk ketahui kekuatan ekonomi sebuah negara, dengan ketahui maklumat ini, para pelabur dapat membuat keputusan sama ada mata wang negara tersebut akan menjadi semakin kukuh, melemah atau tiada perubahan.

Tidak seperti analisa teknikal dimana ia dilakukan dengan melihat pergerakan harga di chart, analisa fundamental melibatkan data berkenaan ekonomi sesebuah negara serta tajuk berita yang boleh memberi impak kepada pasaran secara menyeluruh.

Secara asasnya, sekiranya data berkenaan ekonomi sebuah negara itu bagus maka mata wang negara tersebut dijangkakan akan menjadi makin kukuh kerana terdapat banyak permintaan yang akan membuatkan harga mata wang negara itu semakin menaik.

Jika data ekonomi negara itu dikeluarkan sebagai lemah, maka permintaan untuk mata wang negara itu akan berkurangan dan harga akan jatuh.


Pengambilan Utama

  • Pergerakan harga sebuah mata wang adalah berdasarkan supply dan demand.
  • Jika ekonomi negara itu kuat terdapat banyak permintaan buat mata wang negara itu, sekiranya ekonomi negara itu lemah, maka permintaan mata wang negara tersebut akan berkurangan.
  • Analisa fundamental di pasaran saham adalah berbeza dengan analisa fundamental untuk pasaran forex.
  • Data seperti KDNK, kadar faedah, Pekerjaan, adalah antara data yang penting untuk dipantau oleh trader.
  • Isu politik negara boleh memberi impak terhadap pasaran forex.

Perbezaan Analisa Fundamental Saham dan Forex

Di pasaran saham analisa fundamental sedikit berbeza berbanding dengan analisa yang dilakukan pada pasaran forex.

Pasaran saham, kita akan lihat prestasi syarikat tersebut dengan baca penyata kewangan seperti income statement dan juga balance sheet syarikat untuk ketahui nilai sebuah syarikat, potensi pertumbuhan syarikat tersebut pada masa hadapan dan betapa kukuhnya syarikat itu.

Dalam forex ia lain sedikit, kerana forex trader tidak dapat lihat penyata kewangan seperti saham, kerana ia tidak wujud. Tapi apa yang mereka perlu lihat adalah kesihatan sesebuah ekonomi negara tersebut.

Terdapat banyak faktor yang boleh menjejaskan pergerakan pasaran forex tapi apa yang trader akan lihat adalah isu semasa seperti kadar pengangguran dan isu politik negara.

Kenapa Harga Mata Wang Menguat dan Melemah

Dalam trading forex ia hanyalah tentang “Supply and Demand“. Jika terdapat banyak permintaan untuk mata wang negara itu maka makin mahal jadinya dan harga akan semakin menaik, jika permintaan kurang maka harga akan turun.

Cara trader akan tentukan supply dan demand untuk mata wang itu adalah dengan melihat pada analisa fundamental.

Ini kerana analisa fundamental menceritakan tentang kesihatan ekonomi sesebuah negara. Lagi bagus data ekonomi negara tersebut maka itu menunjukkan ekonomi negara itu semakin menguat yang akan membuat mata wang mereka menjadi lebih kukuh kerana ramai pelabur ingin membelinya.

Apabila negara itu mempunyai data yang kurang memuaskan maka permintaan untuk mata wang mereka akan berkurangan yang akan menjadi punca kejatuhan nilai mata wang mereka kerana tidak ramai pelabur ingin membelinya.

Contoh, jika data ekonomi A.S menunjukan positif dan kuat, ramai pelabur yang ingin membeli mata wang USD, dan ini akan mendorong kepada kenaikan nilai atau perkukuhan USD berbanding mata wang negara lain.

Laporan Data Yang Perlu Diperhatikan

Terdapat banyak keluaran data dan peristiwa yang boleh memberi kesan kepada pergerakan harga dalam forex.

Sebagai trader kita perlu awasi dan ambil langkah berjaga-jaga ketika adanya keluaran data.

Di bawah adalah senarai keluaran data dan juga peristiwa yang perlu trader tahu dan perhatikan.

Gross Domestic Product

Ianya adalah sebuah laporan tentang GDP atau dalam bahasa ia dipanggil sebagai KDNK.

Laporan ini menunjukkan ukuran secara menyeluruh tentang keadaan semasa sesebuah ekonomi.

Data ini adalah daripada hasil jumlah nilai dari pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh negara dalam tempoh suku tahunan.

Consumer Price Index

CPI atau consumer price index adalah laporan tentang perubahan kos barang dan perkhidmatan pengguna dan data ini dikeluarkan pada setiap bulan.

Data CPI juga digunakan untuk mengukur kadar inflasi negara.

Retail Sales

Ia adalah laporan berkenaan barangan yang dijual dalam industri peruncitan sama ada besar atau kedai runcit kecilan tempatan.

Jika data laporan yang dikeluarkan adalah positif itu adalah petunjuk bahawa ekonomi masih sihat. Jika laporannya lemah itu bermaksud ekonomi sedang merundum kerana orang ramai kurang membeli barangan.

Trade Balance

Laporan trade balance adalah tentang ukuran perbezaan antara import dan eksport barangan.

  • Import menunjukkan jumlah barangan yang dibeli daripada negara lain.
  • Eksport bermaksud barangan tempatan yang dijual kepada negara lain.

Ia tunjuk tahap perdagangan sesebuah negara dan kadar perubahan dalam eksport berbanding import diikuti rapat oleh pakar ekonomi dan pelabur kerana ia menunjukkan kekuatan ekonomi negara.

Jika jumlah eksport lebih tinggi berbanding import itu adalah petunjuk yang bagus bahawa ekonomi itu sedang berkembang, ini kerana eksport dapat membantu dalam perkembangan ekonomi negara berbanding import.

Sekiranya nilai import lebih tinggi berbanding eksport, itu bermaksud negara itu lebih banyak membawa barangan masuk berbanding keluar dan ia boleh menjadi masalah dalam jangka masa lama kerana ia memberitahu bahawa lebih banyak duit keluar dari ekonomi itu berbanding masuk.

Durable Goods Orders

Laporan ini tunjuk jumlah berapa banyak orang membuat pembelian produk yang akan bertahan untuk jangka masa yang panjang sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 tahun.

Contoh barangan seperti, mesin perkilangan, kereta, telephone bimbit, komputer, dan banyak lagi.

Kerana produk seperti ini tidak kerap orang membelinya disebabkan ia dijangka untuk bertahan lama.

Laporan ini dipercayai untuk memberi tahu tentang perkembangan untuk sektor industri perkilangan pada masa hadapan.

Employment

Laporan berkenaan pekerjaan adalah antara laporan data yang penting untuk dipantau.

Laporan ini termasuk kadar pengganguran, berapa jumlah tenaga kerja yang tidak memiliki pekerjaan, jumlah pekerjaan baru yang dicipta, purata pendapatan setiap jam.

Data ini sering mengakibatkan pergerakan yang ketara berlaku dalam pasaran.

Pergerakan Harga Ketika Data NFP Keluar
Pergerakan harga ketika NFP

Mungkin anda akan kerap dengar trader sebut tentang “NFP” yang bermaksud non farm payroll, ini adalah data berkaitan dengan pekerjaan dan biasanya dikeluarkan pada setiap hari jumaat pada minggu pertama setiap bulan.

FOMC Meeting

Federal Open Markets Committee atau FOMC adalah sebuah pertemuan yang dilakukan untuk menentukan dasar monetari di A.S dan perjumpaan ini biasanya akan berlaku sebanyak 8 kali setiap tahun.

Hasil daripada pertemuan FOMC boleh memberi kesan terhadap pasaran forex sekiranya terdapat keputusan yang berbeza daripada apa yang ramai orang sangka dan harapkan.

Interest Rate

Kadar faedah adalah pemacu utama pasaran forex, semua petunjuk ekonomi yang dinyatakan di atas akan diperhatikan oleh Federal Open Markets Committee(FOMC) untuk menggukur kekuatan keseluruhan ekonomi.

Federal Reserve atau Fed akan menggunakan hasil laporan data lain untuk membuat keputusan untuk menurunkan atau menaikkan atau kekalkan kadar faedah negara.

Soalan Lazim

Penting Ke Analisa Fundamental?

Dengan melakukan analisa fundamental, anda mungkin dapat lihat arah pasaran dengan lebih
luas dan dapat meningkatkan prestasi trading anda.

Macam Mana Nak Tahu Tentang Keluaran Data?

Trader akan gunakan sebuah alat yang dipanggil sebagai economic calendar untuk melihat bila berlakunya peristiwa keluaran data.

Analisa Fundemental atau Teknikal Lagi Bagus?

Kedua-duanya memainkan peranan yang penting dalam forex trading. Ada trader katakan teknikal lebih penting, ada yang katakan fundamental. Tapi pendapat saya kedua-duanya penting.

Teknikal analisa bagus untuk trader tahu arah tuju harga akan bergerak dan juga dimana untuk ambil keuntungan dan dimana untuk keluar jika trade itu rugi.

Manakala analisa fundamental dapat membantu trader untuk meningkatkan kepastian mereka terhadap analisa tersebut.

Perlu Ke Baca Perkembangan Berita Semasa?

Walaupun ia kelihatan agak penat, tapi dengan membaca perkembangan semasa dalam pasaran kewangan dapat membantu kita sebagai trader untuk sentiasa dikemas kini dengan perkara yang berlaku dalam pasaran.

Anda tidak perlu baca kesemua berita yang ada, tapi hanya berita yang mempunyai maklumat penting seperti perkembangan isu politik negara dan tingkah laku bank pusat.
Kiranya hanya baca berita yang boleh memberi impak pada pasaran.